08 October 2008

TAKZIAH UNTUK 9W2BCA ( POK HAR LATI )

TAKZIAH...

hanya itu yang teman mampu katakan bila menghubungi 9w2BCA atau Pok Har dari lokalan Lati, Pasir Mas bila sahaja mendapat berita bahawa beliau kehilangan harmonik ke enam dalam satu kejadian kemalangan di Kg Gual Periok, Rantau Panjang pada 6 Oktober baru-baru ini. teman ada juga terbaca berita tersebut dalam tabloid KOSMO tapi tak terlintas langsung bahawa ia melibatkan rakan teman sendiri. untuk mendapatkan kepastian lanjut, teman menghubungi 9w2RRP, abe jie yang kemudiannya mengesahkan berita tersebut. lantas teman terus melayangkan loceng terbang kepada 9w2BCA dan hanya perkataan itulah yang mampu teman perkatakan.

kepada rakan-rakan yang membaca berita ini, sama-samalah kita berkongsi kesedihan dengan beliau dengan melayangkan sms atau menghubungi terus Pok Har kita di talian maxis 9881114.. semoga dengan kehadiran sms ini InsyaAllah akan merungkai sedikit kesedihan yang dialami oleh Pok Har sekeluarga.

Berikut adalah sedutan berita yang teman petik dari Harian Metro, Selasa 7 Oktober 2008..

Terpelanting dirempuh kereta

Oleh Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my

PASIR MAS: “Saya benar-benar tak sangka kerana ketika itu saya sibuk bersalaman dengan saudara-mara selepas makan. Malah, saya juga tak tahu bagaimana arwah boleh dipimpin dua abangnya untuk melintas jalan.

“Saya hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi brek kereta yang kuat sebelum mendapati anak saya sudah terpelanting akibat dilanggar kereta,” kata Wina Mohd Bili, 37, ibu kepada Mohd Shahadah Azwina Azhar, 2, yang maut akibat dilanggar sebuah kereta di Kampung Gual Periok di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, Mohd Shahadah bersama dua abangnya, Mohd Aman Mirza, 6, dan Mohd Nazmi, 7, mahu melintas dari kiri ke kanan jalan.

Dia dirempuh sebuah Proton Wira Aeroback hingga terpelanting dan cedera parah di kepala dan badan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM), kira-kira jam 8 malam hari kejadian.

Wina, seorang pengusaha salun kecantikan, berkata dia bersama suami, Azhar Che Ya, 40, dan lima anak pergi ke rumah ibu saudaranya dari rumah mereka di Kampung Lati bagi menghadiri majlis sempena Aidilfitri.

Menurutnya, dia juga tidak mengetahui bagaimana arwah tidak sempat melintas sedangkan dua abangnya sudah berada di tepi jalan.

Selepas kejadian itu, suaminya terus bergegas membawa Mohd Shahadah ke HPM untuk menerima rawatan lanjut, tetapi dia disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.

“Kejadian itu memang tidak diduga berikutan tempat kejadian jalan kampung, ditambah pula ada majlis kenduri di kawasan berkenaan.

“Saya sedih dan kesal dengan sikap pemandu kereta itu kerana memandu terlalu laju,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Jenazah anak keenam daripada tujuh beradik itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Lemal jam 11 pagi semalam.

Seminggu sebelum kejadian itu, kata Wina, arwah agak manja kerana sering mengadu sakit dan menangis walaupun hanya luka kecil di jari dan lutut selepas terjatuh ketika bermain.

“Saya tak sangka perubahan itu menandakan dia akan pergi meninggalkan kami selamanya kerana dia agak pendiam berbanding adik-beradik lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Haliludin Rahim, berkata pemandu Wira Aeroback terbabit membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas, petang semalam.

“Dia yang berusia 39 tahun yang melanggar mangsa tampil membuat laporan jam 6 petang ini (semalam). Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu memberi maklumat,” katanya.

Beliau meminta saksi kejadian menghubungi balai polis berhampiran atau di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7908222 untuk membantu siasatan.


kepada Pok Har sekeluarga, teman sekali lagi mengucapkan takziah..


- AL- Fatihah untuk Allahyarham Mohd. Shaadah Azwina Azhar.. semoga rohnya ditempatkan dikalangan para solehin.. Amin..

No comments: